Sunday, January 30, 2011

Pemain kebangsaan gagal beri fokus

Devan resah tonggak ‘tak menjadi’



SHAH ALAM – Beberapa tonggak kebangsaan yang membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF, bulan lalu gagal memberikan fokus dan mempamerkan prestasi sebenar ketika melayan Kelantan pada perlawanan sumbangsih di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Itu rumusan yang dilemparkan oleh jurulatih Selangor, K. Devan mengenai kekalahan 0-2 Selangor di tangan Kelantan yang menyebabkan skuad Merah Kuning terlepas peluang keemasan mencatat kejuaraan hatrik Piala Sultan Ahmad Shah.
‘‘Fikiran, mental dan fokus mereka (pemain kebangsaan) untuk perlawanan ini jelas amat kurang dan mereka tidak menampilkan aksi sebenar.
‘‘Ini perkara yang saya lihat menjadi salah satu punca kekalahan kita kepada Kelantan, mungkin mereka masih berasa letih.
‘‘Namun, ini baru perlawanan pertama dan saya anggap kekalahan ini kena pada tempat supaya para pemain kembali sedar serta mengambil pengajaran terutamanya pemain-pemain kebangsaan yang ada dalam Selangor untuk bangkit selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan, kelmarin.
Kata-kata Devan itu jelas terbukti apabila persembahan beberapa pemain kebangsaan seperti Safiq Rahim, Mohd. Amri Yahyah dan Safee Sali langsung tidak menyerlah, malah jauh daripada tahap sebenar mereka yang boleh pamerkan ketika bersama skuad negara.
Malah, Safee dan Amri tidak dapat merasai aksi selama 90 minit kerana dikeluarkan lebih awal oleh Devan dan digantikan oleh Fitri Syazwan dan S.Sritharan.
Selain itu, pemain kebangsaan lain yang turut terdapat dalam pasukan Selangor ialah Mohd.Razman Roslan yang memberikan sepakan penalti kepada Kelantan serta Mohd. Amirulhadi Zainal dan Mohd. Asraruddin Putra Omar.
Dalam pada itu, Devan berkata, pemberian penalti pada awal perlawanan jelas mengganggu perancangan perlawanan dan menyebabkan pemainnya terpaksa mempertingkatkan asakan untuk mencari gol penyamaan.
‘‘Nasib kita memang kurang baik, kerana di awal perlawanan lagi kita sudah ketinggalan hasil jaringan penalti dan selepas 25 minit barulah persembahan kita nampak lebih baik.
‘‘Walaupun banyak menguasai perlawanan pada separuh masa kedua, tiada tindakan penyudah daripada barisan serangan.
‘‘Harus diingat, kita tewas dua jaringan kepada Kelantan bukan hasil gerakan padang tetapi gol menerusi bola mati, satu menerusi penalti dan satu lagi daripada sepakan percuma,” katanya yang turut mempertahankan barisan pertahanannya yang disifatkan beraksi baik menangkis serangan Kelantan.

No comments: