Sunday, January 23, 2011

Harimau Muda turun tanpa Muslim, Izzaq hadapi Singapura

Muslim, Izzaq cedera


KUALA LUMPUR - Berdepan Skuad Olimpik Singapura pada malam ini, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berdepan masalah besar apabila dua tonggak utama, Mohd. Muslim Ahmad dan Izzaq Faris Ramlan tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.

Selain Muslim dan Izzaq, kelibat pemain sayap, Wan Zack Haikal juga tidak dapat disenaraikan oleh Kim Swee ekoran cedera di bahagian buku lali yang menyebabkan sedikit rombakan terpaksa dilakukan dengan membawa masuk tiga muka baru.

Ketiga-tiga mereka mendapat kecederaan ketika tewas 1-2 kepada skuad Olimpik Thailand pada 20 Januari lepas. Muslim mendapat kecederaan di bahagian pangkal paha sementara Izzaq mengalami masalah di bahagian pelipat lutut.

``Memang satu tugas berat kerana tidak dapat membawa tiga pemain utama saya tetapi saya tidak cepat berasa gelisah kerana yakin dengan kemampuan pemain yang lain.

``Tiga pemain sebagai pengganti mereka ialah Muhd Rafiuddin Roddin, Nazirul Naim Che Hashim dan Mohd.Faizal Muhammad yang saya lihat mampu memikul tugas yang ditinggalkan mereka,” katanya yang dihubungi dari Singapura, semalam.

Perlawanan dengan skuad Olimpik Singapura akan menjadi ujian terakhir buat pasukan bimbingan Kim Swee yang akan beraksi di pentas kelayakan Sukan Olimpik 2012 dengan menentang Pakistan pada pusingan pertama, 23 Februari dan 9 Mac depan.

Mengulas perlawanan malam ini, Kim Swee berkata dia tidak akan melakukan perubahan besar dalam percaturan taktikalnya walaupun tewas dengan Thailand baru-baru ini.

``Daripada cara permainan, saya tidak akan melakukan penukaran drastik kecuali cuba mengenal pasti kelemahan pada perlawanan semasa bertemu Thailand dan memperbaikinya.

``Saya mungkin memberikan peluang kepada pemain lain yang tidak turun beraksi tempoh hari supaya mereka boleh merasai bahang bermain di perlawanan antarabangsa.

``Apa-apa boleh terjadi dalam tempoh sebulan ini ditambah dengan Liga Super akan bermula, mana-mana pemain saya boleh mendapat kecederaan dan saya tidak boleh bergantung kepada pemain yang sama sahaja dalam setiap perlawanan.

``Oleh itu, saya harus memberikan peluang yang sama kepada semua pemain dalam aksi persahabatan dan liga nanti supaya mereka benar-benar bersedia apabila diturunkan, ’’ jelasnya.

Dengan ketiadaan Muslim, lilitan kapten dijangka akan diserahkan kepada K.Gurusamy pada perlawanan yang akan dilangsungkan di Stadium Jalan Besar, pukul 7.30 malam ini.

No comments: