Monday, January 24, 2011

Nasib Sathianathan

Nasibnya memang sudah diduga, hukuman memang telah dijatuhkan namun cuma hanya menunggu masa berkuatkuasa. Tiada apa yang mengejutkan sangat apabila mendengar B. Sathianathan digantung selama enam bulan pada hari semalam. Cuma yang agak sedikit pelik kenapa perjalanan liga hendak bermula Sabtu ini, Jawatankuasa Rayuan akhirnya bersidang dan membincangkan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin pada Oktober lepas..lama sungguh ambil masa tiga bulan untuk bersidang balik..tapi soal itu saya tidak berminat hendak sentuh, mungkin setiap ahli jawatankuasa mempunyai sebab2 tersendiri mengapa mereka bertindak sedemikian

Hanya kerana memberikan sedikit komen di akhbar NST mengenai tindakan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM pada tempoh yang lepas, Datuk Che Mat Jusoh yang memberikan kelebihan kepada skuad Terengganu beraksi di tempat sendiri sebanyak dua kali berdepan Perlis, Sathia mungkin hanya mampu melihat anak-anak buahnya beraksi dari bangku penonton selama enam bulan ini(bukan enam hari ,enam perlawanan atau enam minggu).Tidak sangka begitu berat sekali hukuman yang diterima oleh bekas pengendali kebangsaan ini seolah-olah dia melakukan kesalahan menyerang atau mengasari pengadil perlawanan.

Bagaimanakan agaknya nasib Sathia selepas ini?Mahukan KAFA menyimpannya selama enam bulan tanpa berbuat apa-apa atau memberikan tugasan khas sepanjang menanti hukuman habis?Itu yang menarik perhatian penulis, Tan Sri dijangkakan akan memberikan komen pada bila-bila masa mengenai kedudukan sebenar Sathia selepas ini.

Rasanya KAFA mungkin akan mengekalkan khidmat Sathia tetapi apa peranannya di Kelantan, itu belum pasti. Mungkin juga bertindak selaku penasihat tidak rasmi kepada jurulatih baru, itu sahaja yang nampaknya sesuai buat Sathia pada waktu ini.

Apa yang mungkin sedikit membimbangkan penulis adalah mungkin akan ada segelintir penyokong Kelantan akan menjadikan Stadium Shah Alam sebagai medan melepaskan geram terhadap tindakan FAM pada perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah. Mungkin ada antara mereka menyalahkan campur tangan pemimpin bola sepak Selangor yang melakukan konspirasi di sebalik penggantungan tidak masuk akal Sathia. Namun, diharapkan mereka(penyokong Kelantan) dapat mengawal emosi masing-masing dan tiada sebarang perkara buruk akan berlaku pada hari perlawanan.

Tetapi buat penyokong Kelantan, harap jangan cepat melatah,bakal pengganti skuad kesayangan anda itu juga bukan calang-calang orang..difahamkan buat masa ini, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dikhabarkan sedang berunding dengan FAM pada hari ini bagi menebus kontrak Azraai Khor yang dijangka akan mengemudi Kelantan sementara ketiadaan Sathia.

Sewaktu saya membuat panggilan kepada Azraai pada malam semalam, nada Azraai kelihatan amat optimis walaupun dia berkata masih tiada hitam putih atau persetujuan telah dicapai kerana Tan Sri hanya bertanyakan minat bekas pengendali Harimau Muda itu membawa Kelantan pada musim ini.

Jika tiada halangan kontrak daripada pihak FAM, penulis yakin Azraai 100 peratus sudah pasti akan menjadi jurulatih baru Kelantan kerana hukuman yang dikenakan ke atas Sathia tidak mungkin lagi akan dikurangkan kerana telah didengari Jawatankuasa Rayuan.

Hanya dia sahaja penulis rasa layak mengemudi skuad sebesar Kelantan yang dijangka akan terus mencabar beberapa pasukan ternam lain seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah.

Apa kesudahan nasib Sathia dan Kelantan?sama-sama kita tunggu dalam masa beberapa hari ini..

No comments: