Monday, August 30, 2010

Hoki Malaysia muncul juara di Paris

Malaysia juara di Paris

PARIS - Skuad hoki Malaysia memperoleh suntikan semangat menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2010 apabila muncul juara pada Kejohanan Hoki Lima Negara (INSEP) selepas menundukkan pasukan tuan rumah, Perancis 4-2, semalam.
Kemenangan itu membantu Malaysia berada di tangga teratas liga, satu mata mengatasi pencabar terdekat, Ireland yang menang 2-0 ke atas Scotland.
Selepas kecundang 1-4 kepada Ireland, skuad negara turun dengan misi mencari tiga mata penuh kerana sedar hanya kemenangan sahaja mampu meletakkan Malaysia sebagai juara keseluruhan.
Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin menghadiahkan gol pendahuluan kepada Malaysia seawal minit ketiga menerusi gerakan gol padang.Namun, kealpaan Malaysia memberikan ruang kepada Perancis pada minit ke-41 menyamakan kedudukan menerusi Fabien Magner menerusi pukulan penalti.

Anak-anak buah Stephen van Huizen umpama bangkit daripada tidur apabila Mohamad RazieAbd. Rahim berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-46.
Penyerang negara, Hafifihafiz Hafiz meletakkan Malaysia semakin selesa pada minit ke-50 melalui pukulan sudut penalti bagi mengukuhkan kedudukan.
Dia sekali lagi mencatat nama selaku senarai penjaring 13 minit kemudian kali ini melalui gerakan pantas di hadapan gawang Perancis.
Perancis merapatkan jurang pada minit ke-66 selepas Martin Genes, namun ia sudah terlambat buat skuad bimbingan Scott Goodheart menghalang Malaysia muncul juara kali pertama INSEP.
Skuad hoki negara bakal pulang ke Malaysia hari ini selepas melengkapkan siri jelajah ke Eropah semenjak 10 Ogos lalu.

1 comment:

rizal hashim said...

saudara dayne azmin, tahniah menyertai dunia blog. biarpun audiens lebih kecil berbanding dunia persuratkhabaran, ia membawa cabaran dan tarikan berbeza. juga usah lupa linkkan semua story saudara, dalam supplement pun, serta ulasan dan komentar peribadi!