Monday, August 30, 2010

Hoki kalah mengejut

Hoki kita kalah pada Ireland di Paris

PARIS - Skuad negara menerima tamparan hebat apabila dikejutkan dengan kekalahan besar kepada Ireland 1-4 di Kejohanan Hoki Lima Negara (INSEP) di Perancis, semalam.
Walaupun pernah menundukkan lawan yang sama sebanyak dua kali di Dublin sebelum ini, anak-anak buah Stephen van Huizen, gagal mempamerkan permainan sebenar dalam perlawanan tersebut.
Sama ada letih atau sengaja menyimpan kuku untuk perlawanan terakhir berdepan Perancis, Malaysia tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan, kerana kekalahan itu boleh menjejaskan serba sedikit moral para pemain dalam menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
Malaysia yang kembali menurunkan Roslan Jamaluddin selaku penjaga gol utama, meletakkan sebahagian besar pemain yang sama ketika menang ke atas Scotland, dua hari lalu.

Ireland mendahului pada minit ke-12 melalui Eugene Magee, selepas menyempurnakan peluang yang terhidang menerusi pukulan sudut penalti.
Kedudukan kekal 1-0 pada separuh masa pertama yang memihak kepada Ireland, namun serangan bertali arus Malaysia akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-46.
Hafifihafiz Hanafi memberikan gol penyamaan menerusi gerakan bola padang.
Namun, Ireland tidak menunggu lama untuk kembali berada di hadapan, apabila selang dua minit kemudian Mitch Darling menjaringkan gol kedua menerusi gerakan pantas.
Darling sekali lagi menjadi pemusnah Malaysia pada minit ke-55, dengan gol ketiga, sebelum Magee melengkapkan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Malaysia.
Walaupun tewas, Malaysia berpeluang menamatkan kejohanan INSEP selaku juara, jika menewaskan Perancis dalam perlawanan terakhir, kerana masih berada di tangga teratas kumpulan dengan memungut enam mata bersama Scotland.

Jika seri atau kalah, pemenang kejuaraan mungkin akan ditentukan antara Scotland dan Ireland, yang akan berentap sesama sendiri dalam satu lagi perlawanan.
Sementara itu, Perancis turut menghidupkan kembali sisa-sisa terakhir meraih kejuaraan selepas mengalahkan Poland 6-4.

No comments: